Malaysia rujuk ulama dunia tentang fatwa ambil vaksin, kata menteri

Malaysia rujuk ulama dunia tentang fatwa ambil vaksin, kata menteri

KUALA LUMPUR,. Malaysia telah mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada ulama terkemuka dunia tentang hukum pengambilan vaksin COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya beliau telah menghantar surat kepada beberapa ulama terkemuka bagi memohon penjelasan tentang isu berkaitan vaksin, antaranya Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed el-Tayeb, Mufti Mesir Shawki Allam dan Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah.

“Rata-rata mereka berfatwa bersandarkan kepada rujukan pakar (bidang kesihatan) bagi memastikan vaksin ini (vaksin COVID-19) selamat dan halal digunakan.

“Antara syarat fatwa juga ialah merujuk kepada ahli ikhtisas (bidang khusus),” katanya dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Vaksin: Cegah Sebelum Kalah’ yang disiarkan secara langsung di TV 1 malam tadi.

Forum itu menampilkan sembilan ahli panel yang terdiri daripada mufti, pensyarah universiti, pendakwah dan pakar perubatan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata terdapat tiga aspek penting bagi menentukan hukum halal dan haram sesuatu perkara, antaranya merujuk kepada pakar bagi bidang berkaitan sekiranya tidak terdapat dalil atau bukti dalam al-Quran dan hadis.

“Selain itu, hukum halal dan haram vaksin ini juga dikaji sama ada mempunyai sumber daripada haiwan yang tidak disembelih atau ada mengandungi bahan-bahan yang boleh mendatangkan mudarat.

“Sehubungan itu, kajian dan ahli kepakaran bidang kesihatan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menafikan perkara-perkara yang memudaratkan ini,” katanya.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata Nabi Muhammad SAW turut merujuk pakar perubatan pada zaman itu jika ada para sahabat yang sakit.

“Nabi Muhammad SAW akan merujuk pakar perubatan Al-Harith ibn Kaladah walaupun beliau bukan seorang Muslim,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )