Malaysia rekod kematian harian tertinggi semalam dengan 45 kes – Dr Noor Hisham

Malaysia rekod kematian harian tertinggi semalam dengan 45 kes – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Malaysia mencatatkan rekod kematian harian tertinggi COVID-19, dengan 45 kematian sementara kes baharu kembali meningkat dalam tempoh 24 jam lepas apabila 4,446 kes direkodkan semalam berbanding 3,780 hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. menerusi satu kenyataan media berkata Selangor mencatat kematian tertinggi dengan 20 kes diikuti masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Kelantan, tiga di Kedah, Perak dan Johor sementara dua di Negeri Sembilan dan Melaka, serta satu kes di Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

Kematian itu melibatkan individu-individu berusia antara 36 hingga 90 tahun.

Dua hari lepas, 44 kes kematian dilaporkan manakala semalam 36 kematian direkodkan.

Sementara itu, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,650 kes diikuti Sarawak (433) dan Johor (391).

Kelantan merekodkan 343 kes diikuti Kuala Lumpur (297), Negeri Sembilan (243), Kedah (236), Perak (203), Terengganu (201), Pulau Pinang (159), Pahang (139), Melaka (80), Sabah (60), Putrajaya (11) manakala Labuan dan Perlis masing-masing tidak merekodkan sebarang kes baharu.

Dr Noor Hisham memaklumkan seramai 522 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 273 memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini berjumlah 43,506.

Menurutnya sebanyak 14 kluster baharu dikesan melibatkan tujuh kluster komuniti, empat kluster keagamaan dan tiga kluster tempat kerja.

Kluster komuniti melibatkan Kluster Taman Repek (Kelantan); Kluster Kampung Kual (Kelantan); Kluster Kampung Perah (Kelantan); Kluster Kampung Paya Teh (Pahang); Kluster Taman Jati (Pahang), Kluster Jalan Jambusan (Sarawak) dan Jalan Imam Jalilul (Sabah).

Kluster keagamaan pula membabitkan Kluster Kundang Jaya (Selangor); Kluster Parit Kassan Jegol (Johor); Kluster Sungai Langgas (Sabah) dan Kluster Jalan Kuak Luar (Perak dan Kuala Lumpur).

Beliau menjelaskan kluster tempat kerja pula ialah Kluster Jalan Jambu Bol (Selangor); Kluster Dah Serdang (Kedah) dan Kluster Jalan Kusta (Selangor) dengan 70 kes positif telah dikesan daripada 490 saringan.

Sementara itu survelan genomik oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 10 sampel dari 10 hingga 14 Mei telah mengenal pasti kewujudan tujuh lagi kes Varian Yang Membimbangkan (VOC) melibatkan empat kes tempatan varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga kes bukan warganegara varian India B.1.617.

Kes terbaharu varian Afrika Selatan African B.1.351 itu dikesan di Kuala Lumpur menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 66 kes sementara kes varian India B.1.671 dikesan melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan saringan bergejala dengan kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India.

Dr Noor Hisham berkata kerajaan telah melanjutkan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC dalam komuniti sejak 28 April serta sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India sejak 7 Mei.

Beliau menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan sentiasa mengamalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh Kementerian Kesihatan.

–Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )