
Malaysia Maju ke Hadapan dalam SDG, Penurunan Kemiskinan Antara Kejayaan Utama
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Malaysia semakin hampir mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) apabila 12 daripada 17 matlamat menunjukkan perkembangan positif, termasuk kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan mutlak sebanyak 6.2 peratus.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, menyifatkan kemajuan ini sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menangani isu sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Langkah-langkah strategik yang diambil telah membawa kepada pengurangan kemiskinan mutlak sebanyak 6.2 peratus. Selain itu, usaha memperkukuhkan kesaksamaan gender diteruskan melalui Akta Antigangguan Seksual 2022 serta penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual yang akan mula beroperasi Mac ini,” katanya di Dewan Rakyat, Rabu.
Dari segi tenaga, Malaysia mencatat pencapaian memberangsangkan dengan kadar akses elektrik kini berada pada 99.7 peratus, manakala penggunaan tenaga boleh baharu mencecah 19.7 peratus. Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada perkembangan ini termasuk pengeluaran tenaga hidro serta pembinaan ladang solar terapung terbesar di negara ini.
Walau bagaimanapun, Hanifah menekankan bahawa terdapat beberapa cabaran yang masih perlu diatasi, antaranya kelemahan dalam tadbir urus, kebergantungan berlebihan kepada kerajaan, serta kekangan dari segi kapasiti dan infrastruktur.
Justeru, beliau menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan, untuk turut serta dalam memastikan kejayaan pelaksanaan SDG demi masa depan yang lebih mampan.
Jawapan tersebut diberikan sebagai respons kepada pertanyaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, yang ingin mengetahui pencapaian Malaysia dalam usaha merealisasikan 17 SDG serta cabaran utama yang dihadapi.