Malaysia lancar Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Menopaus

Malaysia lancar Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Menopaus

PETALING JAYA,. Malaysia kini merupakan antara perintis dalam pengurusan garis panduan menopaus di Asia Tenggara dengan pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Menopaus di Malaysia hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (gambar) berkata pelancaran itu menandakan pencapaian bersejarah dalam kejayaan penjagaan kesihatan Malaysia dan kementerian akan menyokong inisiatif tersebut dengan usaha meningkatkan kesedaran mengenai menopaus.

“Kesihatan seorang wanita semasa tempoh menopaus membawa pengaruh yang besar terhadap kesihatan dan produktiviti ekonomi negara kita,” katanya dalam video prarakaman yang dipertontonkan kepada peserta semasa pelancaran CPG di sini hari ini.

Menurut Khairy, purata jangka hayat wanita Malaysia pada 2021 adalah 78.3 tahun berbanding 73.2 tahun bagi seorang lelaki Malaysia.

“Separuh daripada wanita akan menjalani kehidupan mereka melebihi usia 78 tahun. Justeru, diharapkan agar CPG ini menjadi langkah pertama dalam mendidik petugas kesihatan Malaysia supaya proaktif dalam menguruskan kesihatan menopaus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa CPG dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Premitha Damodaran berkata garis panduan itu meliputi pelbagai maklumat mengenai gejala menopaus, penilaian dan penyiasatan klinikal, pelbagai rawatan dan kesannya serta perspektif agama terhadap menopaus.

Beliau berkata CPG akan disediakan di pelbagai platform termasuk Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, dan Persatuan Menopaus Malaysia.

“Buat permulaan, CPG akan disediakan untuk pekerja kesihatan sebelum ia diedarkan kepada orang awam dalam bahasa yang lebih mudah serta borang risalah maklumat pesakit dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil,” kata Premitha kepada pemberita selepas pelancaran itu.

CPG yang merupakan inisiatif kerjasama oleh Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia; Persatuan Menopaus Malaysia dan Kolej Obstetrik dan Ginekologi di bawah Akademi Perubatan Malaysia juga akan boleh diakses melalui Android dan iOS di bawah Bahagian Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia atau MyMAHTAS.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )