Malaysia kehilangan tokoh pembangunan infrastruktur Tun Samy Vellu

Malaysia kehilangan tokoh pembangunan infrastruktur Tun Samy Vellu

KUALA LUMPUR,. Malaysia kehilangan seorang negarawan dan tokoh politik berpengalaman yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan kemajuan masyakarat India berikutan pemergian Tun S. Samy Vellu, 86, yang menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara dan atas daya usahanya itu pada 1987, beliau dianugerah ‘International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).

Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978.

Samy Vellu pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.

Mendiang turut mempunyai peranan besar dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan jambatan Pulau Pinang manakala pada 2011, Samy Vellu dilantik menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf menteri bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan.

Mendiang juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit komunikasi sendiri, MEASAT-1 yang dilancarkan pada Januari 1996.

Selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal, sejak Pilihan Raya Umum Keempat (PRU4) hingga PRU-12, ahli politik veteran itu juga banyak menyumbang kepada pembangunan kaum India dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu lebih tiga dekad.

Samy Vellu yang pernah menjadi pelakon drama Tamil ‘Natpu’ pada 1954, dan penyampai berita di RTM pada 1964, melibatkan diri dalam politik sejak 1959 dengan menjadi anggota MIC cawangan Batu Caves dan memegang jawatan setiausaha cawangan itu.

Mendiang pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dan akhirnya sebagai Presiden parti pada 1981 selepas memangku jawatan itu susulan kematian Tan Sri V. Manickavasagam pada 1979.

Pada 1974, Samy Vellu buat pertama kali dipilih untuk bertanding pada PRU4 seterusnya memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandangnya sehingga 2008, sebelum tewas kepada calon Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Dari segi pembangunan bidang pendidikan, Samy Vellu merupakan penggerak kepada penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe Seremban serta Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Aimst).

Mendiang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani dan mempunyai dua anak, S. Mangayarkarasi dan Datuk Seri S. Vell Paari.

Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam ketika dihubungi Bernama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )