Malaysia catat permulaan kukuh perdagangan luar, imbangan perdagangan stabil pada Jan

Malaysia catat permulaan kukuh perdagangan luar, imbangan perdagangan stabil pada Jan

KUALA LUMPUR,. Malaysia telah merekodkan permulaan yang kukuh bagi perdagangan luar, mencatatkan satu lagi imbangan perdagangan yang stabil pada Januari, sekali gus meraih pertumbuhan perdagangan yang positif selama enam bulan berturut-turut.

Public Investment Bank Bhd (PIBB) menerusi nota penyelidikan berkata, situasi perdagangan yang menggalakkan telah mendorong lebihan pada Januari untuk menokok 10.9 peratus tahun ke tahun kepada RM18.4 bilion.

Katanya eksport Malaysia berkembang kali ke-17 berturut-turut pada bulan yang dikaji berikutan pembukaan ekonomi di seluruh dunia dan keadaan yang memberangsangkan selaras dengan situasi global yang semakin baik.

Import Januari 2021 melonjak 26.4 peratus tahun ke tahun kepada RM92.3 bilion iaitu ketiga tertinggi sejak 12 bulan lepas, dipacu oleh modal (+37.7 peratus), penggunaan (32.0 peratus), dan barang-barang penggunaan (28.3 peratus), sekali gus menandakan isyarat pemulihan ekonomi yang pantas di negara ini.

“Lebihan perdagangan dijangka kekal menggalakkan dalam masa terdekat dengan didorong pembukaan ekonomi sepenuhnya merentasi ASEAN, China dan ekonomi maju, prospek ekonomi global yang stabil, kesan ketinggalan strategi pengembangan global pada 2021 dan peningkatan komoditi global yang berterusan, terutamanya minyak dan minyak sawit mentah (MSM).

“Bagaimanapun, ia boleh dijejaskan oleh jangkaan pemulihan import susulan pembukaan ekonomi sepenuhnya di ASEAN dan langkah-langkah bantuan kerajaan secara besar-besaran yang mungkin menyokong pemulihan bagi penggunaan dan import barangan modal,” katanya.

PIBB menegaskan, kestabilan momentum eksport Malaysia adalah seiring dengan aliran serantau yang menerima manfaat daripada pembukaan ekonomi sepenuhnya di ASEAN dan ekonomi maju, serta meningkatkan perbelanjaan fiskal COVID-19 selain lonjakan harga komoditi global, terutamanya perlombongan dan pertanian.

Peningkatan eksport ASEAN bagi Januari diterajui sekali lagi oleh Indonesia (+25.3 peratus), empat bulan berturut-turut oleh republik itu, diikuti Malaysia (+23.5 peratus), Singapura (+17.6 peratus) dan Vietnam (+1.6 peratus).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )