Malaysia Berusaha Perbaiki Kedudukan Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024

Malaysia Berusaha Perbaiki Kedudukan Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2025 – Kerajaan Malaysia memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan integriti dan ketelusan pentadbiran susulan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang menyaksikan negara kekal di tangga ke-57 dengan skor 50 mata.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Khas CPI yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara akan terus menggerakkan inisiatif strategik bagi memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat global.

“Pasukan ini terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, pakar berkaitan serta Transparency International Malaysia, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak sebagai urus setia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, enam Kumpulan Fokus CPI yang dibentuk di bawah pasukan petugas tersebut akan meneliti secara terperinci hasil kajian dan penilaian CPI bagi mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang lebih berkesan.

“Hasil kajian ini akan dijadikan panduan dalam merangka dan melaksanakan tindakan bagi memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambah kenyataan itu.

Kerajaan turut menegaskan bahawa usaha meningkatkan persepsi global terhadap kecekapan serta ketelusan sistem tadbir urus negara akan diteruskan secara menyeluruh. Malah, keputusan CPI 2024 ini dijadikan sebagai penanda aras dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik menjelang 2033.

Indeks CPI 2024 turut menyaksikan Denmark, Finland, dan Singapura muncul sebagai negara dengan tahap ketelusan tertinggi, masing-masing mencatatkan skor 90, 88, dan 84 mata.

CPI dinilai berdasarkan skala 0 hingga 100, di mana 0 melambangkan kadar rasuah tertinggi manakala 100 menandakan ketelusan sepenuhnya. Malaysia sebelum ini memperoleh 50 mata pada 2023, 47 pada 2022, 48 pada 2021, dan 51 pada 2020.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )