Malaysia berpotensi jadi pemain utama dalam industri dron global

Malaysia berpotensi jadi pemain utama dalam industri dron global

CYBERJAYA,. Malaysia mempunyai potensi besar sebagai peserta awal dan menjadi pemain utama dalam pasaran perkhidmatan dron global yang dijangka mencecah RM267.4 bilion menjelang 2025, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata negara mempunyai banyak bakat tempatan dalam bidang ini.

“Tibalah masanya kita mengumpulkan bakat ini untuk memodenkan kaedah tradisional yang digunakan sehingga hari ini dalam industri utama di seluruh dunia,” kata beliau di pelancaran Oryctes, dron pertama Malaysia yang direka bentuk khusus untuk kegunaan ladang kelapa sawit, di sini semalam.

Saifuddin berkata pelancaran semalam merupakan satu pencapaian penting dalam industri dron negara.

“Saya berharap ini akan menjadi satu duluan bukan hanya peningkatan pengambilan teknologi dron di Malaysia tetapi melonjakkan kemajuan teknologi baharu bagi membantu mencapai matlamat negara menjadi sebuah negara maju, berpendapatan tinggi,” katanya.

Dibangunkan bakat tempatan, Oryctes dinamakan bersempena kumbang Oryctes Rhinoceros, yang lazimnya dikenali sebagai kumbang badak.

Oryctes direka bentuk untuk menghapuskan serangga perosak pertanian yang merosakkan pokok kelapa sawit muda dengan menyembur cecair racun serangga terus dan tepat kepada tempat yang lebih mudah kena serangan pada pokok.

Ia menggunakan peletakan kinematik masa nyata, sebuah sistem penentu kedudukan global (GPS) dipertingkatkan yang membolehkan penyemburan bintik paras sentimeter.

Dron boleh lipat itu boleh menyembur racun serangga meliputi kawasan seluas dua hingga tiga hektar setiap jam dengan sistem semburan yang boleh dilaras mengikut keperluan dan didatangkan dalam dua model.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semasa pelancaran itu mendapati Malaysia menyumbang 28 peratus keluaran kelapa sawit dunia dan 33 peratus eksport dunia.

Dianggarkan sebanyak RM40.25 bilion atau 25 peratus kerugian hasil tuaian kelapa sawit setiap tahun angkara serangan kubang badak. Ia merupakan kehilangan produktiviti yang ketara dalam industri sejagat bernilai lebih RM161 bilion, kata kenyataan itu lagi. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )