Malaysia berhasrat tingkat usaha dengan UAE bangunkan vaksin COVID-19

Malaysia berhasrat tingkat usaha dengan UAE bangunkan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR,. Malaysia berhasrat untuk meningkatkan usaha membangunkan vaksin bersama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha menangani pandemik COVID-19, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam temu bual eksklusif dengan Emirates News Agency (WAM) Seri Paduka bertitah UAE telah menunjukkan bahawa negara itu adalah rakan kepada Malaysia dalam tempoh sukar ini.

“Kedua-dua negara boleh meneroka dan memperhebatkan hubungan dalam bidang pembangunan vaksin COVID-19 dan mengukuhkan kerjasama pasca pandemik antaranya dalam bidang kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan, pertanian, teknologi masa depan, tenaga bersih dan boleh diperbaharui, industri halal serta pelancongan,” titah Seri Paduka seperti yang dipetik dalam laporan WAM hari ini.

Al-Sultan Abdullah berada Abu Dhabi, UAE untuk lawatan lima khas lima hari, dan dalam lawatan itu baginda telah mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE serta pegawai-pegawai kanan negara berkenaan.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengulas mengenai nilai-nilai bersama antara negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan menyatakan bahawa Malaysia sebagai negara perdagangan telah meletakkan penekanan yang kukuh terhadap hubungan dengan negara-negara GCC, terutamanya UAE.

“Malaysia juga berkongsi banyak persamaan dengan negara GCC, dengan lokasi geografinya yang strategik, UAE khususnya, telah menjadi hab perdagangan utama bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia sejak sekian lama,” titah Seri Paduka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )