Malaysia Airlines tingkatkan sokongan kepada Harimau Malaya dengan ‘livery’ istimewa

Malaysia Airlines tingkatkan sokongan kepada Harimau Malaya dengan ‘livery’ istimewa

SEPANG,. Malaysia Airlines Berhad (MAB) terus meningkatkan sokongannya ke atas skuad bola sepak negara dengan memperkenalkan ‘livery’ istimewa yang memaparkan lambang Harimau Malaya pada badan pesawat Airbus 330-300, hari ini.

Usaha itu turut menandakan kolaborasi erat dan perkongsian visi antara MAB dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai dua jenama terkemuka negara.

Bahagian luar badan pesawat berbadan lebar itu direka bentuk untuk memaparkan kedua-dua ikon kebangsaan itu dengan menghubungkan jalur-jalur merah dari Jalur Gemilang dengan logo Harimau Malaya, yang melambangkan kerjasama, kekuatan dan perpaduan antara kedua-dua jenama itu.

“Livery” berkenaan direka bentuk oleh Dr Mohamed Razeef Abdul Razak dan Dr Verly Veto Vermol dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama FAM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB Kapten Izham Ismail berkata sebagai pembawa bendera Malaysia, kedua-dua entiti itu mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan mereka dalam mewakili negara pada tahap tertinggi dari segi aspek keselamatan, disiplin dan komitmen terhadap kecemerlangan.

“Menerusi perkongsian ini, kami tidak sabar untuk menyokong dan memudahkan perjalanan yang selamat dan lancar kepada pasukan bola sepak negara kita semasa mereka menghadapi kejohanan-kejohanan utama meliputi destinasi dalam dan luar rangkaian Malaysia Airlines, supaya bersama-sama, kita boleh mempromosikan kempen ‘Fly Malaysia’ dengan penuh rasa bangga serta membawa semangat Hospitaliti Malaysia ke mana saja kami pergi.

“Kami berbesar hati untuk menerbangkan skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) tidak lama lagi dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Phnom Penh, Kemboja, untuk bertanding dalam Kejohanan B-23 AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) 2022,” katanya pada majlis pelancaran itu di Kompleks Kejuruteraan MAB di sini.

Malaysia
Sementara itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata “livery” Harimau Malaya pada pesawat itu boleh diibaratkan sebagai satu penambahbaikan dalam kerjasama antara badan induk bola sepak negara itu dan MAB.

“Malaysia Airlines sentiasa bermurah hati dalam membawa pasukan negara kita ke pelbagai tugasan antarabangsa dengan penerbangan sewa khas yang menggunakan ‘livery’ tersebut, malah sebelum ia dilancarkan, justeru memberikan pasukan kita layanan mesra yang hanya dapat diberikan oleh Malaysia Airlines.

Peristiwa penuh bermakna ini juga adalah sumber inspirasi kepada pasukan dalam kami bersedia menghadapi kelayakan Piala Asia AFC pada Jun dan kami harap akan dapat membanggakan negara pada kejohanan itu,” katanya.

Dalam pada itu, MAB turut merasmikan kad Harimau Malaya x Enrich 2022 iaitu kad yang direka bentuk khas dengan lambang Harimau Malaya dan menawarkan faedah istimewa kepada ahli-ahlinya dan penyokong bola sepak negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )