Majlis Paralimpik Malaysia tubuh Majlis Atlet
KUALA LUMPUR,. Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan penubuhan Majlis Atlet bagi mematuhi dasar ditetapkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC), Selasa lepas.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata atlet para Carmen Lim akan mengetuai majlis berkenaan susulan wakil atlet diperlukan pada peringkat membuat keputusan lembaga pengelola bagi memacu Pergerakan Paralimpik.
Ahli lain Majlis itu adalah atlet olahraga Paralympian Mohamad Ridzuan Puzi, perenang Paralympian Jamery Siga dan atlet para renang Fraidden Dawan serta atlet para boccia Noor Askuzaimey Mat Salim.
“Majlis ini juga bagi memenuhi keperluan perundangan Akta Pembangunan Sukan 2018, yang mana MPM kini dimasukkan dalam akta ini, diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengawal selia pembangunan sukan para di negara ini.
“Kesemua lima atlet para ini akan bertugas bermula 12 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024. Selepas penggal ini, pelantikan untuk jawatan ini akan dilakukan menerusi pemilihan oleh atlet para,” menurut kenyataan itu.
Misi Majlis tersebut ialah menjadi suara bagi atlet para masa kini, masa depan dan yang telah bersara dalam lingkungan Pergerakan Paralimpik, selari hala tuju strategik MPM dan untuk menyokong atlet para Malaysia di dalam dan di luar gelanggang.
“Strategi mereka akan menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan Pergerakan Paralimpik dalam melahirkan suara atau wakil atlet yang berkesan, mewakili keperluan atlet para,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA