Majikan digalak sertai program kesihatan dan keselamatan pekerja

Majikan digalak sertai program kesihatan dan keselamatan pekerja

KUALA LUMPUR,. Kementerian Sumber Manusia menggalakkan lebih ramai majikan menyertai program kesihatan dan keselamatan berikutan situasi pandemik COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pihaknya mendapati hanya 96 majikan menyertai program Seminar Kesihatan di Tempat Kerja (WHP) sejak diperkenalkan pada 2017.

”Daripada segi penyertaan sejak diperkenalkan, saya tidak berpuas hati hanya 96 syarikat yang telah mengamalkan program ini. Justeru, kita mahu lahir kesedaran dalam kalangan lebih ramai majikan dan pandangan saya ekoran situasi COVID-19 penyertaan akan bertambah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan WHP 2020 di sini, hari ini.

Saravanan berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati bilangan kes pencen Ilat dan Pencen Penakat akibat NCD meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh 10 tahun sejak 2010.

“Dalam tempoh sembilan tahun dari 2010 angka jauh meningkat daripada 10,419 kepada 22,591 pada 2019,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 7,236 kes kematian akibat NCD dilaporkan iaitu purata 20 kematian sehari.

“Kementerian tidak kompromi dalam aspek kesihatan dan keselamatan pekerja yang amat penting dan kita harap majikan ikuti program sedia ada demi kebajikan pekerja,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )