MAIWP salur zakat kecemasan pusingan kedua

MAIWP salur zakat kecemasan pusingan kedua

KUALA LUMPUR,. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan bantuan zakat kecemasan kali kedua kepada warga Wilayah Persekutuan yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan zakat kecemasan itu pada asalnya berbentuk ‘one-off’ iaitu diberikan sekali sahaja.

“Namun atas dasar keprihatinan terhadap warga Wilayah Persekutuan yang terjejas ekoran PKP yang memasuki fasa ke-4, maka MAIWP telah bersetuju memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang telah menerima bantuan itu sebelum ini secara automatik.

“Inisiatif ini melibatkan kira-kira 8,000 penerima dengan anggaran perbelanjaan dana zakat hampir RM3.5 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri MAIWP Kepada Asnaf di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail.

Zulkifli memberitahu, zakat kecemasan itu akan disalurkan secara berperingkat bermula awal Mei dan penerima akan menerima sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau, MAIWP juga akan menyalurkan bantuan yang dinamakan Bantuan Aidilfitri sebanyak RM12.9 juta.

“Seramai 27,500 asnaf akan menerima bantuan tunai berjumlah RM500 setiap seorang.

“Selain itu, bantuan sebanyak RM200 akan disalurkan kepada kira-kira 700 anak-anak yatim di bawah kelolaan MAIWP iaitu di Darul Kifayah Kuala Lumpur dan Labuan.

“Anak-anak keluarga asnaf yang belajar di Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP juga akan menerima sumbangan ini,” katanya sambil menambah para pelatih di pusat perlindungan Dar Assaadah juga akan menerima bantuan itu. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )