
Mahkamah Setuju Dengar Saman Bekas ADUN Nenggiri Berkaitan Keahlian Bersatu
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk mendengar saman pemula yang difailkan oleh bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, yang mencabar keabsahan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hakim Roz Mawar Rozain mendapati bahawa kes ini membabitkan persoalan perlembagaan parti, yang memerlukan penelitian lanjut oleh mahkamah sebelum keputusan dapat dibuat.
“Mahkamah mendapati bahawa permohonan ini membangkitkan isu undang-undang dan fakta yang boleh dipertikaikan, justeru ia perlu didengar dan diputuskan secara menyeluruh,” katanya dalam penghakiman.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 28 April sebagai tarikh pendengaran kes dan menolak permohonan Bersatu serta Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang cuba membatalkan saman tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah menerima permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan sebahagian daripada saman pemula itu yang mencabar keabsahan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri kerana pilihan raya telah selesai pada 17 Ogos 2024.
Hakim menegaskan bahawa sebarang pertikaian mengenai keputusan pilihan raya perlu dilakukan melalui petisyen pilihan raya, bukannya menerusi saman pemula.
Mohd Azizi memfailkan tindakan undang-undang ini pada 24 Jun 2024, dengan menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin, Mohd Amar, dan SPR sebagai defendan.
Beliau menuntut mahkamah mengisytiharkan bahawa pemecatan keahliannya daripada Bersatu adalah tidak sah, berniat jahat, dan melanggar undang-undang.
Selain itu, beliau juga mempertikaikan pindaan Fasal 10 Perlembagaan Bersatu, yang secara automatik menggugurkan keahlian ahli parti yang menyokong parti lawan, sebagai bertentangan dengan perlembagaan.