MAHB jangka pergerakan penumpang meningkat empat kali ganda mulai 24-31 Dis

MAHB jangka pergerakan penumpang meningkat empat kali ganda mulai 24-31 Dis

KUALA LUMPUR,. Dengan kelonggaran dalam perjalanan domestik, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangka peningkatan penumpang di rangkaian lapangan terbangnya pada musim cuti panjang ini.

“Hab utama kami, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (kod IATA: KUL) menjangka lebih 99,000 penumpang domestik dan 19,000 penumpang antarabangsa untuk tempoh antara 24 – 31 Dis, 2020, meningkat empat kali ganda berbanding tempoh sama bulan lepas.

“Oleh itu, lapangan terbang di seluruh negara telah meningkatkan langkah berjaga-jaga mereka untuk memastikan semua langkah keselamatan yang disediakan dilaksanakan dengan baik supaya penumpang selamat dan mendapat perjalanan yang memuaskan dalam normal baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan.

Mohd Shukrie berkata lapangan terbang MAHB bersedia untuk menerima pergerakan penumpang yang meningkat dengan pematuhan yang ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

“Barisan hadapan lapangan terbang kami akan berada di lapangan untuk membantu penumpang dan memastikan proses di setiap lokasi dijalankan dengan cekap untuk keselamatan mereka.

“Dalam kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua penumpang kami, kami ingin mengingatkan kepada semua penumpang untuk turut memainkan peranan dalam mematuhi norma baharu perjalanan, iaitu dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sering membersih dan mencuci tangan untuk memastikan kebersihannya,” katanya.

Bagi memastikan perjalanan yang lancar pada musim cuti ini, MAHB telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua penumpang dalam tempoh yang sibuk.

Sehubungan itu, penumpang diingatkan untuk menyemak jadual penerbangan yang terkini; kelayakan mereka untuk melakukan perjalanan berdasarkan SOP terkini yang diumumkan oleh kerajaan; keperluan kepada sebarang dokumen tambahan atau ujian perubatan (ujian swab COVID-19) yang diperlukan sebelum tiba di lapangan terbang, dan tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas penerbangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )