
MAFI sumbang bantuan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS
PUTRAJAYA,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID 19 Bersepadu (PKRC) MAEPS Serdang.
Penyerahan bantuan MAFI Prihatin disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada Pengarah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim.
Turut hadir dalam sesi penyerahan ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Haslina Abdul Hamid.
MAFI dalam kenyataan medianya berkata, bantuan MAFI Prihatin merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai Jabatan dan Agensi dibawah MAFI seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyumbangkan produk makanan Agromas ready to eat.
“Selain produk makanan turut disampaikan juga tajaan beras oleh pihak MARDI Corporation (MAEPS) bertujuan untuk membantu meringankan beban para petugas barisan hadapan yang turut terkesan dengan penularan pandemik COVID 19,”katanya.
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID 19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 telah diaktifkan semula pada 6 Disember 2020 berikutan peningkatan kes COVID 19 dengan mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang kini beroperasi di 9 buah dewan, boleh menampung sehingga 5 ribu pesakit pada satu-satu masa dan telah merawat lebih 100,000 ribu pesakit dalam masa 6 bulan.
Pengurusan PKRC Bersepadu MAEPS melibatkan kolaborasi di antara 18 buah agensi yang diterajui bersama oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dengan kekuatan anggota harian seramai 1,394 kakitangan.