MABA anjur Malaysia D-League cari bakat baharu

MABA anjur Malaysia D-League cari bakat baharu

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dengan kerjasama Major League Sdn Bhd menganjurkan Malaysia D-League berlangsung pada 30 Julai hingga 21 Ogos, di Stadium Tertutup MABA.

Pesuruhjaya Malaysia D-League Frank Ch’ng Eng Hing berkata kejohanan julung kali diadakan itu turut terbuka kepada pemain dari negara Asia Tenggara lain iaitu Indonesia dan Brunei.

“Kejohanan ini adalah untuk pemain berusia 23 tahun ke bawah. Pada awalnya ia adalah untuk pemain 21 tahun ke bawah, namun disebabkan pandemik COVID-19 sejak beberapa tahun lepas, banyak pemain tidak berpeluang menunjukkan bakat mereka, sebab itu kami tingkatkan tahap umur tahun ini,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Ch’ng berkata 15 pasukan dalam kategori lelaki yang telah mengesahkan penyertaan akan dibahagikan kepada dua kumpulan, manakala dalam kategori wanita, hanya membabitkan empat pasukan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MABA Tan Kee Hian berkata kejohanan dengan tanda pagar #Take a Lead Young player to national team bertujuan untuk mencungkil bakat baharu skuad kebangsaan dan mengukuhkan skuad pelapis kebangsaan.

“Kejohanan seperti ini amat penting kerana ia melahirkan pemain negara. MABA sebenarnya memerlukan bakat baharu dan kami percaya dengan cara ini sahaja dapat melahirkan pasukan kebangsaan.

“Satu situasi dialami MABA sepanjang tahun ini selepas pandemik apabila kami panggil pemain untuk pemilihan, kami sedar bahawa kami tidak mempunyai kumpulan pemain yang besar boleh kami pilih,” katanya.

Johan kategori lelaki akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, diikuti naib johan RM10,000 dan RM5,000 untuk pemenang tempat ketiga.

Bagi kategori wanita pula, johan bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing RM5,000 dan RM2,500.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )