Little India Jalan Tengku Kelana kekal meriah, harga murah jadi pilihan persiapan Deepavali

Little India Jalan Tengku Kelana kekal meriah, harga murah jadi pilihan persiapan Deepavali

KLANG,. Tawaran harga yang rendah dan kepelbagaian barangan menjadi antara tarikan kepada penganut agama Hindu berbelanja di Little India Jalan Tengku Kelana di sini bagi menyambut Deepavali minggu depan meskipun pembelian dalam talian semakin menjadi pilihan orang ramai.

Tinjauan BERNAMA mendapati kawasan itu sesak sejak semalam dengan orang ramai yang ingin membeli barangan bagi persiapan akhir susulan hari minggu walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas.

Kelihatan peniaga sibuk menawarkan harga terendah kepada pembeli manakala lagu Tamil berkumandang dengan rentak gendang yang rancak sekali gus membangkitkan semangat pengunjung untuk terus berbelanja.

Ahli perniagaan John Murugan, 63, berkata sudah menjadi rutin keluarganya sejak beberapa tahun lepas untuk berbelanja di Klang susulan harga, khususnya pakaian dan kelengkapan lain, yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding tempat lain seperti Kuala Lumpur dan Kota Bharu di Kelantan.

Anak jati Kuala Krai, Kelantan itu berkata beliau ke Little India bersama isteri dan anak perempuan serta tiga lagi saudaranya semata-mata untuk mendapatkan barangan terkini yang ditawarkan.

“Barangan di sini murah 30 ke 50 peratus berbanding kawasan lain. Mungkin kerana faktor Little India ini dekat dengan pelabuhan utama negara.

“Saya datang sini dari Kelantan dengan dua kereta untuk berbelanja, kesemuanya penuh sebab barangan memang murah dan kami berpuas hati dari segi mutu,” katanya kepada BERNAMA.

Bagi pekerja swasta M. Durghashini, 28, Little India di Klang menjadi pilihan utama untuk berbelanja sejak beliau mula bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas susulan kepelbagaian pilihan sari yang cantik dan murah.

“Di samping itu, kuih-muih juga banyak dan saya lagi suka beli di kedai berbanding dalam talian sebab nak dapatkan ‘feel’ untuk sambut Deepavali nanti,” katanya.

Peniaga S. Sri, 48, pula berkata sambutan pengunjung dirasakan kurang meriah berbanding sebelum ini kerana orang muda khususnya banyak membeli dalam talian kerana barangan lebih murah dan tidak perlu bersesak dengan orang ramai.

“Biasanya beberapa hari terakhir sebelum Deepavali saya percaya akan ada ramai lagi yang membuat pembelian di saat-saat akhir,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )