Lima Bangladesh ditahan palsu dokumen saringan Covid-19

Lima Bangladesh ditahan palsu dokumen saringan Covid-19

KUALA LUMPUR,. Lima lagi lelaki warga Bangladesh ditahan di Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur selepas didapati terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen dengan cara mengeluarkan keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif bagi warganegara asing.

Tangkapan pada pukul 11 pagi, 9 Jun lalu itu adalah susulan penahanan dua lelaki warga Bangladesh dalam Op Pemalsuan Dokumen Keputusan Ujian Saringan Covid-19 bertarikh 6 Jun 2020.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, kesemua suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur.

Ujar beliau, dalam operasi tersebut, turut dirampas adalah lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan satu salinan surat saringan Covid-19 yang bertulis Lablink Medical Laboratory.

“Selain itu, pada 9 dan 10 Jun lalu, kita telah menerima tiga lagi laporan polis berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19.

“Dalam ketiga-tiga kes tersebut, pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur telah menerima panggilan atau email daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan turut memaklumkan, setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal tersebut mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital atau makmal manakala doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital atau makmal seperti dalam laporan keputusan itu.

Sehubungan itu, kata beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan (menggunakan dokumen palsu sebagai tulen) yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Hukuman juga boleh dikenakan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.

“Usaha mengesan suspek dan mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini sedang giat dijalankan dan Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19,” tegas beliau. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )