Liga Super: PDRM atasi Kelantan United 2-0, lonjak ke tangga keenam

Liga Super: PDRM atasi Kelantan United 2-0, lonjak ke tangga keenam

PETALING JAYA,. Pasukan PDRM FC berjaya melonjak tiga tangga ke kedudukan keenam Liga Super 2023, selepas menewaskan pasukan di kedudukan tercorot, Kelantan United 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Memulakan aksi dalam hujan lebat, skuad Sang Saka Biru (The Cops) tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Dzulfahmi Abdul Hadi seawal minit ke-10.

Pasukan tuan rumah kemudian menggandakan jaringan apabila Uche Agba menyempurnakan penalti pada minit ke-38.

Terdahulu, pengadil perlawanan Suhaizi Shukri menghadiahkan sepakan penalti kepada PDRM, selepas penjaga gawang Kelantan United, Ahmad Asyraaf Omar mengasari Uche di dalam kotak penalti.

Menerusi kemenangan kedua itu selepas lima aksi setakat ini, PDRM berada di tangga keenam carta dengan tujuh mata, manakala Kelantan United yang gagal mencatatkan sebarang kemenangan, kekal di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Perlawanan tersebut merupakan aksi terakhir sebelum saingan Liga Super berehat hampir dua minggu sempena jendela FIFA bagi aksi pasukan kebangsaan.

Dalam tempoh berkenaan, skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong pada 28 Mac, kedua-duanya di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )