Liga Malaysia kembali beraksi Sabtu ini
KOTA KINABALU,. Perlawanan CIMB Liga Super antara PJ City FC dan Terengganu FC serta UKM FC menentang Kelantan untuk saingan CIMB Liga Premier pada esok (22 Ogos) singkap semula tirai saingan Liga Malaysia yang tergendala ekoran krisis COVID-19 sejak pertengahan Mac lalu.
Kedua-dua perlawanan itu adalah yang tertunda apabila saingan Liga Malaysia ditangguhkan pada 16 Mac.
Perlawanan itu akan menseimbangkan jumlah perlawanan kesemua pasukan yang bersaing dalam kedua-dua saingan utama bola sepak negara apabila saingan diteruskan semula pada 28 Ogos ini.
Jadual terbaharu yang dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) beberapa hari lalu menyaksikan
skuad Tambadau Sabah akan meneruskan cabaran menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 29 Ogos.
Selepas perlawanan minggu ini, semua pasukan akan berbaki tujuh perlawanan apabila MFL memutuskan saingan musim ini dijalankan secara liga satu pusingan sahaja.
Saingan sepatutnya dijalankan secara liga dua pusingan tetapi terpaksa dipendekkan kepada liga satu pusingan untuk membolehkan ia diselesaikan tahun ini selepas rehat panjang ekoran krisis COVID-19.
Diputuskan bahawa musim ini juga tidak akan ada penyingkiran buat pasukan berstatus Liga Premier selepas Amateur Football League (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 pada 8 Jun 2020.
Bagaimanapun, format biasa iaitu dua pasukan tercorot (tangga ke-11 dan 12 ) dari Liga Super akan dilucutkan ke Liga Premier manakala dua pasukan teratas Liga Premier akan naik ke Liga Super dikekalkan
Sementera itu, tarikh sepak mula saingan TM Piala Malaysia bermula pusingan 16 pasukan pula adalah pada 16-18 Oktober, disusuli aksi suku akhir (24 dan 25 Oktober 2020), separuh akhir (30 dan 31 Oktober 2020) dan perlawanan akhir pada 7 November 2020.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melakukan `Swab Test’ (Ujian Calitan) kepada 96 orang pengadil, penolong pengadil dan penilai pengadil di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini dalam persiapannya melaksanakan saingan Liga Malaysia.
Ujian Calitan itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.
Hanya pengadil, penolong pengadil dan penilai pengadil yang melakukan Ujian Calitan dan keputusannya adalah negatif akan mendapat lantikan bagi mengendalikan baki perlawanan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020.