
Letupan paip gas di Putra Height menyebabkan operasi 200 syarikat industri terjejas, berisiko diberhentikan
Kuala Lumpur: Insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Selasa lalu menjejaskan operasi kira-kira 200 syarikat industri di kawasan sekitar dan berisiko untuk diberhentikan operasinya.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, meskipun bekalan gas dijangka pulih sepenuhnya pada 20 April, jam 6 petang, namun gangguan selama 20 hari itu tetap memberi kesan pada pengoperasian industri terbabit.
“Kebanyakan pengilang yang terjejas bergantung kepada bekalan gas yang stabil untuk pengoperasian pengeluaran.
“Namun kini mereka berdepan risiko terpaksa menghentikan operasi, sekaligus mengalami kerugian dan gangguan besar dalam rantaian bekalan mereka.
“Walaupun ada syarikat yang mempunyai pelan kecemasan, tetapi mereka turut terjejas kerana pembekal pula tidak mempunyai pelan seumpama itu.
“Gangguan selama 20 hari ini bukan sahaja menjejaskan operasi, malah boleh memberi kesan buruk kepada eksport, peluang pekerjaan dan keyakinan pelabur.
“Ini juga boleh melemahkan kekuatan industri di Lembah Klang yang juga antara lokasi penting kepada banyak syarikat besar termasuk dari luar negara,” katanya kepada BH, hari ini.
Selasa lalu, kebakaran besar paip gas dilaporkan berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat dari beberapa kilometer.
Setakat petang semalam, sebanyak 46 orang daripada 134 mangsa tragedi itu masih menerima rawatan di hospital dan klinik, manakala 394 mangsa daripada 99 keluarga masih berada di PPS Masjid Putra Heights dan 111 mangsa (28 keluarga) lagi di PPS Dewan Camelia Putra Heights.
Secara keseluruhannya, insiden itu membabitkan 1,254 orang daripada 308 keluarga dengan 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lagi terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Thian Lai berkata meskipun kerja pembaikan saluran gas itu sedang dijalankan, pihak industri turut bersama mencari alternatif lain bagi menyelesaikan masalah bekalan gas buat sementara waktu.
“Antaranya termasuklah dengan menggunakan gas asli cecair (LNG) yang dibawa dengan lori tangki. Pihak industri berharap pihak berkuasa dapat membantu dan meluluskan pengaturan ini dengan segera memandangkan ia membabitkan situasi kecemasan.
“FMM bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Thian Lai bagi pihak FMM turut meluahkan rasa simpati kepada komuniti sekitar yang terjejas dalam insiden berkenaan.
Kredit: Bharian