Lelaki didakwa bunuh anak sulung, simbah anak bongsu air panas

Lelaki didakwa bunuh anak sulung, simbah anak bongsu air panas

KUALA LUMPUR ,. Seorang tukang kasut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh anak sulungnya sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan riadah dekat sini, awal bulan ini.

Mohd Yasin Halik, 40, didakwa membunuh kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu di sebuah rumah di Jalan Pudu, Dang Wangi pada 9 malam, 9 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 21 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, Mohd Yasin dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menyimbah air panas ke badan teman wanitanya, Suma, yang juga warga Indonesia, sehingga menyebabkan mangsa melecur pada punggung kiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada 1 pagi, 8 Dis lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 11 Dis lepas.

Terdahulu, Wong bertanya kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam sama ada beliau ingin membuat rayuan bagi meringankan hukuman.

Mohd Yasin yang kelihatan tenang sepanjang prosiding hanya menggelengkan kepala.

Di Mahkamah Sesyen pula, Mohd Yasin mengaku bersalah menyimbah air panas menggelegak daripada pemanas air ke atas anak bongsunya, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, di lokasi sama pada 12 tengah hari, 1 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 9 Jan tahun depan bagi fakta kes dan hukuman.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar dan B. Sareeka.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )