Lelaki ‘bertelekung’ mengaku salah curi telefon bimbit jemaah wanita

Lelaki ‘bertelekung’ mengaku salah curi telefon bimbit jemaah wanita

SHAH ALAM,. Seorang lelaki yang menyamar dengan memakai telekung untuk mencuri di dalam masjid didakwa di Mahkamah Majistret semalam atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit milik dua jemaah wanita pada minggu lepas.

Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di dua buah masjid di sini.

Namun Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menangguhkan hukuman terhadap Mohamad Amirul Shafiq bagi menunggu laporan sosial memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Amirul Shafiq dituduh mencuri sebuah telefon bimbit jenis iPhone X milik Maznah Selamat di Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18, Shah Alam pada 6.25 pagi, 20 Dis lepas.

Bagi pertuduhan kedua, jurujual itu didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenis Samsung Z Flip 3 milik Kasmunah Abd Rahman di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam pada 8.50 malam, 20 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Redza Azhar menetapkan RM3,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dan 17 Jan ini bagi mendengar laporan sosial tersebut.

— Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )