Legenda bola sepak negara terharu terima sumbangan kerajaan Perak

Legenda bola sepak negara terharu terima sumbangan kerajaan Perak

TAIPING,. Legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak atas sumbangan yang disampaikan bagi meringankan bebannya yang kini menghidap kanser usus tahap empat, sejak tahun 2017.

Tonggak pertahanan negara yang pernah beraksi bersama skuad bola sepak kebangsaan di Sukan Olimpik Munich 1972 itu menerima bantuan wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed di rumah anaknya di Taman Larah Aman, Kamunting di sini, hari ini.

“Saya terharu dan berterima kasih kerana masih ada yang menghargai sumbangan saya dalam arena bola sepak dan ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban,” katanya yang kini berkerusi roda akibat lumpuh separuh badan sejak diserang angin ahmar pada 2015, kepada pemberita.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah pemain bola sepak negara yang pernah beraksi dengannya iaitu Datuk Soh Chin An, Datuk Ramli Mahmud, Datuk Abdah Alif dan Yunus Alif.

Namat, 74, yang ditemani isterinya Datin Mahani Sulaiman, 72, berkata beliau kini tinggal bersama anak perempuannya Monaliza, 38 dan menantunya Zulizwar Mohd Bakir, 39, sejak dua bulan lepas.

Namat berkata beliau akan menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang pada 15 Jun ini.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata sumbangan itu bagi membantu kos rawatan dan kemudahan kebajikan lain yang diperlukan Namat.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan setiap atlet tidak kira yang masih bermain atau telah bersara mendapat perhatian sewajarnya termasuk Namat yang telah mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya mewakili Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) sudah berbincang dengan keluarga Namat mengenai apa yang diperlukan oleh beliau bagi memastikan kebajikan pemain terbela walaupun keperluannya tidak kritikal tetapi ia memerlukan rawatan.

“Saya gembira melihat dia ceria apabila dilawat oleh beberapa bekas pemain bola sepak seangkatan dengan beliau,” katanya.

Khairul Shahril berkata kerajaan negeri turut membantu bekas pemain bola sepak Perak, Ahmad Sufian Zulkifli yang menjalani pembedahan jantung.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )