Lebih banyak pengusaha tekstil akan terlibat Jualan Rahmah – Salahuddin
KUALA LUMPUR,. Lebih banyak libat urus akan dilakukan bersama pemain industri tekstil dalam insiatif Payung Rahmah agar mereka dapat menawarkan jualan harga pakaian yang lebih rendah sehingga 20 peratus berbanding harga jualan murah sedia ada.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata selain baju raya pada musim perayaan, antara yang boleh ditawarkan menerusi program itu termasuk baju sekolah bagi memberikan kelegaan kepada rakyat mendepani masalah kos sara hidup.
“Jualan Rahmah untuk tekstil ini harganya mesti turun lagi daripada promosi jualan yang ditawarkan sepanjang tahun itu. Jadi, saya mengharapkan lebih ramai pemain industri tekstil tampil ke hadapan.
“…kalau dari segi Menu Rahmah kita sudah ada, begitu juga pelajar universiti pun sudah ada Kafe Rahmah, jadi mungkin kalau esok akan ada lagi pakej Rahmah lain misalnya untuk majlis bertunang dan perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Jualan Rahmah Baju Raya Jakel, di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.
Salahuddin berkata setakat ini selain Jakel, pasar raya Mydin turut menawarkan jualan Rahmah untuk baju raya yang mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Menurutnya, paling membanggakan walaupun menawarkan harga murah pemain industri tidak sedikit pun berkompromi dengan kualiti barangan yang ditawarkan dalam inisiatif ini.
Sementara itu Mohamed Faroz berkata pihaknya menawarkan jualan Rahmah baju raya melibat semua rangkaian Jakel di seluruh negara dengan potongan harga sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus.
“Misalnya baju raya Melayu edisi Nabil Ahmad dan Aaron Aziz yang kualiti kainnya pada harga premium sekitar RM300, biasanya dijual dengan harga promosi antara RM250 hingga RM200.
“Bagaimanapun dengan adanya Jualan Rahmah Baju Raya Jakel ini, sepasang baju Melayu kita tetapkan harga pada RM149 berserta dengan samping dan juga butang baju,” katanya.
— BERNAMA