Lebih banyak hasil positif untuk pasaran hartanah pada 2024 – MIEA

Lebih banyak hasil positif untuk pasaran hartanah pada 2024 – MIEA

KUALA LUMPUR,. Pasaran hartanah di negara ini akan terus berkembang dan melihat hasil yang lebih positif pada 2024 memandangkan banyak inisiatif berterusan yang disediakan tahun ini di tengah-tengah cabaran terutamanya dari segi luaran.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Tan Kian Aun berkata Malaysia tidak mengalami sebarang kejatuhan mengejut atau melihat kesan negatif pada tahun lepas seperti perampasan harta yang menyebabkan ramai orang menderita dalam sektor itu.

‘Walaupun semasa tempoh pandemik terdapat beberapa halangan, berita baiknya ialah industri ini perlahan-lahan pulih, yang mana kita dapat melihat dari segi harga yang stabil serta pemulihan beberapa projek terbengkalai yang mencerminkan petanda baik.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan sehingga September 2023, sebanyak 301 projek atau 38,752 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM28.88 bilion telah dihidupkan semula termasuk lapan projek perumahan swasta terbengkalai dengan GDV RM574.08 juta sejak penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai (TFST).

Kementerian juga telah memulihkan 266 projek perumahan swasta terbantut membabitkan 67,773 unit rumah dan 46,229 pembeli dalam tempoh yang sama.

Tan berkata Malaysia juga terus menjadi antara destinasi pelaburan yang paling menarik dengan perkembangan seperti projek Rapid Transit Link (RTS) di Johor, projek perindustrian utama di wilayah utara serta projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

Terdapat peluang potensi pertumbuhan dalam setiap sektor, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di seluruh negara disebabkan oleh inisiatif kerajaan persekutuan dan negeri untuk meningkatkan pasaran khususnya bagi perindustrian serta pembuatan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP). 2030.

Satu lagi pemangkin, katanya, ialah sektor infrastruktur seperti LRT Pulau Pinang, Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak termasuk tumpuan kepada pelancongan, tenaga boleh diperbaharui dan hijau serta inisiatif rendah karbon di Sabah dan Sarawak, antara lain.

“Semua ini adalah industri bernilai tinggi dan akan meningkatkan ekonomi serta pasaran hartanah di rantau ini.

“Dasar fiskal kerajaan, seperti pengecualian penuh duti setem untuk pembeli rumah kali pertama (bagi RM500,000 dan ke bawah) sehingga penghujung 2025, juga akan menggalakkan pemilikan rumah di negara ini,” kata Tan.

Selain itu, peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan yang digandakan kepada RM10 bilion di bawah Bajet 2024 dijangka memanfaatkan 40,000 peminjam dan Pelan Liberalisasi Visa Rumah Keduaku (MM2H) Malaysia turut menunjukkan kerajaan komited untuk merangsang pasaran.

“Semua ini adalah industri bernilai tinggi serta akan meningkatkan ekonomi dan pasaran hartanah di rantau ini
‘Kerajaan juga menjalankan tugas yang baik dalam mengawal kadar faedah (Kadar Dasar Semalaman semasa pada tiga peratus), dan menjadikan negara kita tempat yang lebih mesra untuk melabur dengan arah yang lebih fokus yang diminati seperti menggabungkan kehidupan yang mampan, elemen tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

“Kami tidak mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu yang drastik untuk mengubah landskap ekonomi sebaliknya mengambil pendekatan langkah demi langkah kerana ia mungkin memberi kesan ke atas inflasi, kos sara hidup dan jurang pendapatan rakyat,” tambah Tan lagi.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )