Lebih 42,000 pelajar bakal terima wang pendahuluan pinjaman PTPTN

Lebih 42,000 pelajar bakal terima wang pendahuluan pinjaman PTPTN

KUALA LUMPUR,. Seramai 42,946 pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi Julai 2023 akan menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 untuk menampung sebahagian perbelanjaan persiapan awal pelajar.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan sebanyak RM64.42 juta disediakan bagi tujuan itu dan pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN.

Pelajar boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara mulai 18 Julai ini dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan) dan tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 18 Julai hingga 18 September.

“WPP ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Semenjak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Mei 2023, sebanyak 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion,” menurut kenyataan itu.

PTPTN sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

Pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya, dan pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )