Lebih 100,000 daftar mohon permit rentas negeri menerusi Gerak Malaysia

Lebih 100,000 daftar mohon permit rentas negeri menerusi Gerak Malaysia

KUALA LUMPUR,. Seramai 100,000 daripada 300,000 individu yang sudah mendaftar dengan aplikasi mudah alih Gerak Malaysia memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Pemohon terbabit adalah antara mereka yang terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya menjangkakan angka itu akan meningkat berkali ganda menjelang 1 Mei ini.

“Ingin saya jelaskan amat perlu bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.

“Tujuannya adalah supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan lancar dan tidak menyulitkan pengguna lebuh raya dan jalan raya yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh yang ditetapkan itu PDRM akan memantau menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi atas talian Gerak Malaysia.

“Hasilnya akan diangkat untuk dimaklumkan kepada pihak kerajaan supaya tarikh pergerakan seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima.

“PDRM sekali lagi menasihatkan supaya masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri ‘interstate movement’ atas sebab yang sahih seperti ditetapkan,” katanya.

Huzir berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sistem aplikasi atas talian Gerak Malaysia ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar perlu melakukan pergerakan antara negeri.

Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri akan diumumkan kelak.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )