Latihan fasa pertama penanda aras penting – MFL

Latihan fasa pertama penanda aras penting – MFL

KUALA LUMPUR,. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, sesi latihan fasa pertama bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan Liga Malaysia (Liga-M), sebelum latihan fasa kedua dibenarkan.

Dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini Ab Ghani berkata, pelaksanaan latihan fasa kedua yang membenarkan latihan dengan kontak menjadi lebih cerah, apabila semua pasukan berdisiplin mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam sesi latihan fasa pertama.

“Fasa pertama amat penting, kerana ia ujian kepada kita untuk mengikuti SOP yang ditetapkan kepada pasukan dan jika berjaya, ini akan membolehkan kita maju lagi ke hadapan menuju fasa kedua. SOP penting untuk kita mengurangkan atau tidak memberi ruang kepada COVID-19.

“Paling penting untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa latihan bola sepak dikendalikan pasukan dengan pemantauan MFL, tidak ada apa-apa masalah. Jika semua pasukan boleh memberi kerjasama mengikut SOP, MFL akan teruskan dengan permohonan latihan fasa kedua,” katanya.

Ab Ghani berkata, latihan fasa kedua membenarkan pasukan dan pemain melakukan latihan seperti biasa dalam mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga-M 2020, yang dijangka bersambung pada September depan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini memberi kebenaran, untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan, dengan melakukan jarak sosial tiga hingga lima meter bermula Isnin lepas.

Justeru, MFL menggariskan empat perkara wajib yang perlu dipatuhi setiap pasukan, sebelum dibenar untuk kembali mengendalikan sesi latihan buat kali pertama, sejak penangguhan Liga-M 2020 pada Mac lepas susulan pandemik COVID-19.

Ab Ghani berkata setakat hari ini, MFL meluluskan lima daripada tujuh permohonan dan pengesahan pematuhan SOP, untuk kembali memulakan sesi latihan.

“MFL terpaksa menangguhkan permohonan dua pasukan, kerana didapati masih ada dokumen yang belum lengkap oleh pasukan itu, untuk memulakan latihan.

“Saya tidak nampak sebarang masalah jika setiap pasukan mengikut SOP, kerana hari ini keadaan statistik COVID-19 di negara kita semakin berkurangan, dan beberapa aktiviti dibenarkan, dan kita nampak perjalanan menuju ke kehidupan normal semakin positif,” jelasnya.

Lima pasukan yang menerima kelulusan menjalani latihan fasa pertama adalah Johor Darul Ta’zim, Selangor, UiTM FC, Negeri Sembilan, dan Selangor 2.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )