Laporan awal tragedi Batang Kali dibentang ke Kabinet semalam – Nik Nazmi

Laporan awal tragedi Batang Kali dibentang ke Kabinet semalam – Nik Nazmi

CYBERJAYA,. Laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Dis lepas telah dibentangkan ke Kabinet semalam, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tanpa mendedahkan inti pati laporan berkenaan, beliau berkata, laporan awal bencana tanah runtuh yang disediakan kementeriannya menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) itu, telah dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebarang maklum balas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas laporan penuh (tragedi itu) siap dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini sebagai mengulas status terkini laporan tragedi berkenaan.

Sebelum ini, Nik Nazmi dilaporkan berkata, laporan penuh akan dibentangkan ke Kabinet dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga akan mengambil pendekatan holistik meliputi aspek undang-undang dan struktur pembangunan agar insiden sama tidak berulang.

Tragedi pada kira-kira 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )