Langgar PKP: 12 ditahan sertai parti liar, 7 positif dadah

Langgar PKP: 12 ditahan sertai parti liar, 7 positif dadah

KUALA LUMPUR,. Bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah sekumpulan 12 lelaki yang ditahan semalam turut menganjurkan parti liar dengan hidangan dadah jenis ganja.

Kesemua mereka kemudiannya ditahan dalam serbuan Op Parti Liar di sebuah kondominium di Jalan Ang Seng, Brickfields di sini kira-kira pukul 1.10 pagi.

Dalam serbuan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields turut merampas empat paket plastik berisi dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 9.5 gram.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin @ Hilmi berkata, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 17 hingga 33 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang saspek yang ditahan telah menyewa kondominium tersebut melalui panggilan telefon dan membuat bayaran secara ‘online banking’ dengan jumlah RM178 untuk satu malam.

“Dadah yang dirampas juga telah dibawa masuk oleh salah seorang saspek lagi yang dibeli daripada seorang lelaki lain dengan harga RM10 untuk satu paket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairulnizam, peserta private party yang hadir dijemput melalui aplikasi Whatsapp dan panggilan telefon.

Ujarnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh daripadanya positif dadah, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama dan kesemua suspek direman empat hari bermula semalam.

Tambahnya, setiap seorang daripada suspek dikenakan kompaun bayaran RM1,000 atas kesalahan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (NO.2) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11, Peraturan yang sama. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )