Laksana segera projek perintis Dasar Gaji Progresif – Steven Sim
KUALA LUMPUR,. Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong hari ini mengarahkan kementerian itu untuk melaksanakan segera projek perintis Dasar Gaji Progresif bagi membolehkan pekerja mendapat gaji yang lebih bermaruah dan wajar.
Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi untuk menjayakan pelaksanaan projek tersebut dan usaha lain bagi mereformasikan pasaran buruh negara.
“Setelah diberikan amanah sebagai Menteri Sumber Manusia, saya meletakkan tiga teras utama yang ingin saya tekankan di kementerian ini iaitu memperkukuh kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan (produktiviti) pekerja,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Sim berkata dalam tempoh satu minggu pertama ini, beliau telah membuat beberapa keputusan penting yang menyentuh tiga teras itu antaranya mengarahkan HRD Corp untuk tidak meneruskan projek Skills Passport kerana didapati tidak lagi sesuai selain tertangguh lebih setahun.
Beliau berkata kementerian itu juga akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara sebagai panduan utama bagi menyokong ketiga-tiga teras utama selain mempersiap pasaran buruh yang mampu mendepani cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Sim turut memaklumkan pelantikan Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) dan Ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Chee Yeeh Ceeu sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.
“Sejak awal pelantikan, saya telah menyatakan iltizam untuk berdiri bersama pekerja. Oleh itu, saya berbesar hati melantik seorang aktivis kesatuan sekerja…
“Beliau adalah seorang aktivis gerakan buruh yang mempunyai 15 tahun pengalaman aktif dalam pergerakan kesatuan sekerja dan pelantikan ini membolehkan penglibatan yang lebih rapat kaum pekerja dalam pembuatan dasar di peringkat kementerian,” katanya.
Sim juga berkata beliau bersama timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad telah mengadakan sesi jelajah ke setiap jabatan dan agensi bagi memahami fungsi serta peranan dalam kementerian sebelum membuat perancangan untuk mengoptimumkan fungsi bagi setiap jabatan dan agensi.
“Kementerian Sumber Manusia akan tetap berpegang kepada prinsip integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik berpandukan nilai-nilai Madani dalam setiap tindakan yang dibuat demi kebaikan kaum pekerja, rakyat secara amnya dan negara,” katanya.
— BERNAMA