La Liga sedia kongsi maklumat rangka SOP Liga-M

KUALA LUMPUR,. Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berpeluang untuk mendapatkan bantuan daripada La Liga, dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) yang mantap, bagi membolehkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) dapat disambung kembali.

Dengan liga utama Sepanyol itu bakal menyambung baki saingan musim ini, esok (awal pagi Jumaat di Malaysia), delegasi La Liga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi berkata, mereka bersedia berkongsi maklumat dalam mengenal pasti SOP terbaik.

Beliau berkata, SOP yang baik amat penting bagi memastikan saingan liga kembali bersambung dan La Liga begitu menitikberatkan aspek berkenaan, agar ia dapat berlangsung dengan lancar.

“Sebagai rakan kongsi, apa yang kita boleh bantu, kita bantu, di mana setiap peraturan yang La Liga keluarkan ini semestinya bersesuaian dengan negara kami, dan mungkin ada sesetengah perkara perlu ditambah lagi oleh MFL untuk menepati kesesuaian di Liga-M.

“Kami dapat kongsikan kepada MFL dari segi protokol dan SOP untuk dijadikan sebagai landasan dan penanda aras, sebelum mereka memulakan kembali liga selepas ini. Tetapi perlu diingat setiap negara adalah berbeza,” katanya dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MFL, hari ini.

Antara menjadi kepentingan untuk La Liga adalah protokol keselamatan bagi setiap perlawanan, iaitu pasukan akan beraksi tanpa penonton, dan stadium akan dibahagikan kepada zon-zon keselamatan, selain bangku simpanan akan dijarakkan dan paling utama sidang media selepas perlawanan akan diadakan secara maya.

Setiap pegawai dan pemain wajib memakai alat perlindungan, seperti penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri sebaiknya di stadium, menurut Rossi.

Beliau berkata, hanya 250 individu sahaja dibenarkan untuk berada dalam satu stadium yang membabitkan pegawai pasukan, pemain, jurulatih, barisan pengadil, pihak penyiaran, pengawal keselamatan serta pasukan perubatan.

Semua individu terlibat perlu memasuki stadium menerusi laluan masuk yang dibuka khas untuk mereka, bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan terjamin, sebelum dibenarkan berada di dalam stadium.

Perlawanan pertama pada 4 pagi Jumaat ini, bakal menyaksikan pertembungan antara dua bekas juara apabila Sevilla FC menerima kunjungan Real Betis.

Di Malaysia, semua pasukan sudah dibenarkan untuk kembali memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat bermula Isnin depan (15 Jun) dan Liga-M dijadual bersambung pada September, sekiranya mendapat kebenaran kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )