KWP akan wujudkan dasar perumahan komprehensif di Kuala Lumpur

KWP akan wujudkan dasar perumahan komprehensif di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR,. Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) komited untuk mewujudkan satu dasar perumahan yang komprehensif termasuk mengambil kira rumah kos rendah pada masa hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, terdapat dua aspek yang perlu diambil kira mengenai isu perumahan di Kuala Lumpur iaitu soal pemilikan rumah dan rumah-rumah yang boleh disewakan dengan harga yang mampu oleh golongan sasar.

“KWP memandang berat terhadap keperluan dan kewujudan rumah-rumah kos rendah di Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur.

“Untuk itu, KWP bercadang untuk melancarkan satu program Rumah Prihatin, iaitu rumah-rumah yang dibina dengan harga di bawah RM200,000 satu unit,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Annuar berkata demikian semasa menjawab soalan Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu tindakan kementerian bagi mengatasi masalah kekurangan rumah kos rendah di mana ramai pekerja berpendapatan rendah di Kuala Lumpur terpaksa menyewa bilik partition kecil.

Kata Annuar, KWP melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membina kira-kira 2,000 unit rumah Council Homes dan 1,000 unit rumah mikro bagi membantu warga kota yang memerlukan rumah kediaman.

“Council Homes ini disediakan untuk disewa kepada golongan sasar dengan kadar sewa kira-kira antara RM350 sebulan hingga RM850 sebulan.

“Manakala bagi Micro Homes adalah rumah-rumah kecil yang disewa pada kadar kira-kira RM100 sebulan, dan ini juga sedang dibina dan dijangka dapat diadakan dalam tempoh lima tahun.

“Micro Homes ini sedang dibina untuk para pekerja seperti pekerja-pekerja di pasar borong dan sebagainya,”
katanya.

Tambah Annuar, pihaknya turut merancang untuk membina kira-kira 5,000 unit rumah Residensi Prihatin yang mempunyai tiga bilik yang boleh atau mampu dibeli oleh golongan yang berpendapatan rendah dengan harga di bawah RM200,000.

Dalam itu, Annuar memandang serius tuduhan Yee Kew yang mendakwa rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) diberikan kepada mereka yang tidak berkelayakan melalui pertalian politik sehingga menafikan hak golongan yang memerlukan.

“Adalah penting mengendalikan soal perumahan awam, kita dapat menguruskan dengan baik supaya ianya diterima oleh kumpulan sasar dan kita mempunyai banyak lagi agenda-agenda bagi memastikan penduduk di PPR dan PA ini mendapat perumahan yang lebih baik.

Kata Annuar, pihaknya telah membuat keputusan untuk penduduk-penduduk di Perumahan Seri Labuan yang sekarang ini menghuni di rumah-rumah yang mengandungi satu bilik atau dua bilik sahaja akan dipindahkan ke rumah baru.

“Rumah tersebut mengandungi tiga bilik yang diberikan secara percuma sebagai gantian kepada rumah-rumah mereka yang kecil.

“Program yang sebegini mungkin menarik perhatian sesetengah pihak untuk menyalahgunakannya jadi saya fikir kita perlu bekerjasama supaya perkara itu tidak berlaku dan kita harus berikan keadilan kepada mereka yang layak,” katanya sambil meminta kepada Yee Kew untuk menyalurkan maklumat berkenaan dengan pemilikan unit PPR yang diperolehi melalui pertalian politik supaya perkara itu dapat diteliti.

Menjawab soalan tambahan P.Prabakaran (PH-Batu) Annuar berkata, pihaknya telah membina
kira-kira 7,000 tempat letak kereta bertingkat di beberapa kawasan PPR di sekitar ibu kota.

“Dasar ini akan diteruskan dan DBKL bersedia untuk membina tempat letak kereta tambahan bagi kemudahan penduduk di PPR,” katanya. -WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )