Kurang 50 peratus masyarakat Melayu terima dos penggalak

Kurang 50 peratus masyarakat Melayu terima dos penggalak

KUALA LUMPUR,. Kurang daripada 50 peratus masyarakat Melayu telah menerima dos penggalak COVID-19 dan keadaan ini memerlukan komunikasi yang lebih baik khususnya menerusi media sosial, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata secara keseluruhan, pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula kerana ia merupakan langkah terbaik dalam memberi perlindungan terutama dalam gelombang Omicron yang pantas merebak ketika ini.

“(Sebanyak) 80 peratus masyarakat Cina ‘boosted’ (menerima suntikan dos penggalak). Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang 50 peratus,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter di sini hari ini.

Setakat semalam (10 Febuari), berdasarkan peratusan data liputan dos penggalak mengikut bangsa di seluruh negara yang dikongsikan Khairy, masyarakat Melayu merekodkan sebanyak 47.9 peratus individu yang telah menerima dos penggalak, Cina (81.3 peratus), India (56.4 peratus), Orang Asli dan Peribumi (49.6 peratus) dan lain-lain (50.6 peratus).

Beliau bagaimanapun memuji Sarawak yang menjadi negeri merekodkan peratusan tertinggi individu yang menerima dos penggalak iaitu sebanyak 76.8 peratus.

Ini diikuti Melaka (71.9 peratus), Lembah Klang (66.9 peratus), Negeri Sembilan (62.4 peratus), Pulau Pinang (61.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (57.1 peratus), Johor (56.8 peratus), Perak (51.7 peratus), Pahang (48.3 peratus), Kedah (43.9 peratus), Terengganu (38.4 peratus), Perlis (30.9 peratus), Kelantan (25.3 peratus) dan Sabah (24.8 peratus).

Dalam ciapan berasingan, Khairy yang turut berkongsi peta liputan dos penggalak COVID-19 bagi Lembah Klang dan Johor berkata tumpuan perlu diberikan di kawasan liputan rendah terutamanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setakat semalam, keseluruhan 57 peratus penduduk di Johor telah menerima suntikan dos penggalak dengan Muar merekodkan sebanyak 71 peratus, diikuti Johor Bahru (67 peratus), Kulai (56 peratus), Batu Pahat (52 peratus), Kluang (46 peratus), Kota Tinggi (42 peratus), Tangkak (40 peratus), Segamat (37 peratus), Pontian (35 peratus) dan Mersing (32 peratus).

Bagi tempoh sama di Lembah Klang, keseluruhan 67 peratus penduduk telah menerima dos penggalak dengan Petaling merekodkan jumlah penduduk yang menerima dos penggalak tertinggi iaitu sebanyak 79 peratus diikuti Kuala Lumpur (75 peratus), Putrajaya (70 peratus) dan Hulu Langat (61 peratus).

Klang dan Gombak pula, masing-masing 59 peratus, Kuala Langat dan Sepang masing-masing 54 peratus, Kuala Selangor (48 peratus), Sabak Bernam (40 peratus) dan Hulu Selangor (20 peratus).

Menurut ciapan lain, Khairy berkata majikan perlu menaik taraf sistem pengudaraan di pejabat masing-masing jika perlu mengadakan mesyuarat secara fizikal sebagai langkah berjaga-jaga.

“Anda (majikan) layak mendapatkan potongan cukai untuk menaik taraf sistem pengudaraan di pejabat anda. Kemudahan ini dilanjutkan sehingga akhir 2022. Maklumat lanjut menerusi @LHDNMofficial,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )