Kumpulan pertama gelandangan berlepas mula bekerja di Sitiawan

Kumpulan pertama gelandangan berlepas mula bekerja di Sitiawan

KUALA LUMPUR,. Rezeki Ramadan. Demikian tuah bagi seramai 43 gelandangan apabila mereka memulakan perjalanan hidup baharu hari ini untuk bekerja di sektor perkilangan dan perladangan di Sitiawan, Perak.

Kumpulan pertama itu merupakan sebahagian daripada 300 gelandangan berjaya dipilih setelah melepasi saringan dan proses temuduga melibatkan beberapa buah syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, seramai 96 gelandangan yang ditempatkan di Anjung Singgah pula akan bekerja untuk proses pembungkusan produk-produk yang dihantar dari kilang syarikat sarung tangan.

“Kira-kira 200 warga gelandangan pula akan diberi kursus jangka pendek dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bakal ditawarkan pekerjaan di bawah DBKL.

“Mereka yang tidak berjaya melepasi temuduga oleh syarikat-syarikat yang terlibat akan diserapkan oleh DBKL,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Penempatan Pekerjaan Kumpulan Gelandangan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Gelandangan berkenaan sebelum ini ditempatkan di pusat transit ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Sosio Ekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengurus Besar Top Glove, Loke Kean Muan.

Annuar berkata, terdapat kira-kira 100 warga gelandangan yang uzur dan tidak sesuai untuk bekerja telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Imigresen untuk diuruskan.

“Seramai 78 daripada mereka merupakan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah diserahkan kepada JKM manakala selebihnya warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Katanya, gelandangan berkenaan diharapkan dapat memulakan kehidupan baharu selepas mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

“Hikmah daripada wabak Covid-19 dan PKP, kami berjaya mendapatkan kerjasama daripada pelbagai agensi dan syarikat swasta untuk menggajikan mereka sekali gus mengurangkan jumlah gelandangan di ibu kota,” katanya.

Kata beliau, mana-mana gelandangan yang berupaya bekerja tetapi tercicir dan belum mendapat peluang pekerjaan boleh tampil menghubungi DBKL dan JKM untuk tujuan itu.

“Kami sedia membantu mereka mendapatkan pekerjaan kerana banyak permintaan daripada syarikat-syarikat swasta yang mahu menggaji pekerja tempatan,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )