
Kuala Lumpur Bersiap Sedia Sebagai Tuan Rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025
KUALA LUMPUR, 8 Feb 2025 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan dua jawatankuasa khas sebagai langkah persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di ibu negara pada Mei ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata Jawatankuasa Tindakan Kesejahteraan Bandar dan Jawatankuasa Tindakan Pengindahan Bandar telah diwujudkan bagi memastikan kesiapsiagaan Kuala Lumpur dari aspek kebersihan, keindahan bandar, lalu lintas, penguatkuasaan, serta penyelenggaraan infrastruktur.
“Pada 6 dan 7 Mei 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama. Sebagai sebahagian daripada persediaan, DBKL turut menganggotai Jawatankuasa Kecil Kesejahteraan Awam di peringkat nasional,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Media 2025 di Dewan Kuki, Menara Berkembar Petronas (KLCC), pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa Kuala Lumpur perlu menampilkan landskap bandar yang menarik, sistem pengangkutan yang cekap, serta persekitaran yang bersih dan mesra bagi memperkukuh imejnya sebagai sebuah bandar raya moden dan berdaya huni.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Kuala Lumpur juga bakal menjadi tuan rumah kepada Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) dan Asian Sustainable Urban Forum, yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 15 Ogos 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre dengan kerjasama Urbanice Malaysia.
“Dengan kehadiran pemimpin bandar utama dari ASEAN, Kuala Lumpur berpeluang mempamerkan daya saingnya sebagai sebuah bandar raya mampan dan inovatif. Oleh itu, kami berharap pihak media dapat memainkan peranan penting dalam membawa naratif positif mengenai Kuala Lumpur di peringkat serantau dan antarabangsa,” tambahnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka menarik kehadiran pemimpin serantau serta delegasi antarabangsa, menjadikannya satu platform penting untuk Malaysia memperkukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara ASEAN.