KPWKM mohon 1,122 jawatan pegawai pelindung kanak-kanak, pegawai akhlak

KPWKM mohon 1,122 jawatan pegawai pelindung kanak-kanak, pegawai akhlak

PUTRAJAYA,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon pertambahan 1,122 bagi jawatan pegawai pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata KPWKM sudah mengemukakan permohonan itu kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penelitian, pada bulan lepas.

“Ini bukan kelulusan saya, ia tertakluk kelulusan MOF dan JPA, kami mengusulkan kerana kami rasa ada keperluan.

“Ini tugas hakiki yang sangat penting, membantu siasatan, turun ke bawah. ia merangkumi semua,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Korporat Kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), di sini semalam.

Mengulas mengenai tambahan 8,000 perjawatan kontrak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula awal tahun depan, Rina berkata lantikan ke jawatan tersebut akan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

“Kalau (jawatan) kontrak di bawah kerajaan, sudah pasti ia akan diiklankan dan kami akan ikut prosedur-prosedur yang ditetapkan.

“Tambahan jawatan ini dibuat dan disuarakan oleh JKM, bukan saya. Ini berdasarkan apa yang telah kami sasarkan apa yang akan berlaku tahun hadapan,” katanya

Terdahulu, Rina yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN menerima sumbangan korporat berjumlah RM250,000 iaitu RM150,000 disumbangkan melalui zakat Pharmaniaga dan RM100,000 disumbangkan oleh Ronald McDonald House Charities (RMHC), Malaysia.

Sumbangan korporat daripada zakat Pharmaniaga disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusannya Mohamed Iqbal Abdul Rahman manakala RMHC pula disampaikan oleh Pengurus Besarnya Nasri Nordin.

“Sumbangan yang diterima daripada RMHC akan diberikan kepada 50 rumah anak yatim yang berdaftar dengan JKM manakala sumbangan zakat Pharmaniaga pula akan diberikan kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )