KPWKM anjur World Quran Hour peringkat kementerian

KPWKM anjur World Quran Hour peringkat kementerian

PUTRAJAYA,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) buat julung kalinya akan menganjurkan program World Quran Hour di peringkat kementerian pada 6 Mei ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata program itu juga akan disebarluaskan ke lebih 200 agensi dan pejabat di bawah KPWKM termasuk rumah kebajikan yang dikendalikan kementerian.

“Bagi memastikan program World Quran Hour ini sampai ke semua agensi dan rumah kebajikan di bawah KPWKM di seluruh negara, kami akan turut memancarkannya secara maya melalui pelbagai medium seperti Facebook live.

“KPWKM sangat menyambut baik program seumpama ini dan mengajak semua kakitangan kami di seluruh negara termasuk klien kami yang menghuni rumah-rumah kebajikan di bawah kementerian, untuk bersama-sama membaca Al-Quran semasa hari pelancaran nanti,” katanya kepada media mengenai Program World Quran Hour, di sini semalam.

Ditanya mengenai pemilihan surah Al-Mulk sebagai tema dan fokus untuk bacaan surah utama pada tahun ini, Siti Zailah berkata adalah penting untuk memahami maksud di setiap ayat dalam surah itu dan bukan sekadar membacanya.

Siti Zailah berkata sebagai tanda sokongan kepada program itu, pihak kementerian juga telah mewujudkan sebuah Quran Corner di lobi kementerian yang menempatkan beberapa naskah al-Quran.

“Quran Corner ini bertujuan untuk memudahkan pelanggan-pelanggan KPWKM yang datang atas pelbagai urusan untuk membaca al-Quran sementara menunggu urusan mereka selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Zailah mengajak umat Islam untuk menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan harian dan memahami ayat dan pengajaran surah-surah yang terkandung dalam kitab suci itu.

“Al-Quran adalah satu panduan hidup yang lengkap yang seharusnya menjadi rujukan semua pihak dan di dalam al-Quran bukan semata-mata mengenai pengajaran dan akidah tetapi ia adalah juga ilmu bagi kita mencapai kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.

Program World Quran Hour yang memasuki tahun keenam dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan Sinergi Media, bertemakan “MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah”.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )