
KPDN Gempur Premis Hiburan, Rampa 244 Botol Arak Tiruan Bernilai RM100,000
KUALA LUMPUR, 10 Feb — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas 244 botol minuman keras tiruan bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di dua premis hiburan sekitar Jalan Tun Razak, Khamis lalu.
Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menjual arak tiruan setelah pemeriksaan ke atas setem cukai mendapati tiada maklumat dikesan melalui imbasan yang dilakukan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 244 botol minuman keras itu menggunakan cap dagangan berdaftar di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815). Kami juga akan menjalankan siasatan susulan bagi mengenal pasti sumber bekalan arak tiruan tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Selain minuman keras, beberapa dokumen perniagaan turut disita bagi membantu siasatan. Difahamkan, setiap botol arak tersebut dijual pada harga antara RM400 hingga RM500, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM104,918.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran dan Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang melibatkan penggunaan perihal dagangan palsu.
KPDN menegaskan pihaknya akan terus memperketatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan produk tiruan, khususnya yang boleh mengundang risiko kepada pengguna.