Kos PRU15 dan PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion – SPR

Kos PRU15 dan PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion – SPR

PUTRAJAYA,. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah memerlukan peruntukan dianggarkan berjumlah RM1.01 bilion, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya manakala sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi dan saluran serta 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi dan saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 dengan 39,318 tempat mengundi dan saluran,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Menara SPR di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata SPR telah melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 1,264 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 222 pusat penamaan calon (PPC) dan 222 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan.

Abdul Ghani berkata SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU15 PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada 5 November 2022 (Sabtu) bagi memudahkan proses penamaan calon.

Selain itu, beliau berkata bakal-bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

Abdul Ghani berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi pusat dan saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR seperti yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau berkata SPR juga menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya telah dibuka pada 11 Oktober 2022 dan akan ditutup pada 21 Oktober 2022,” katanya.

Beliau berkata pihak yang berminat dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR.

Permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui e-mel [email protected].

Abdul Ghani berkata bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media termasuk menerusi media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.

SPR hari ini mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya iaitu tarikh keluar writ pada hari ini (20 Oktober), hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November (Sabtu), hari mengundi awal pada 15 November (Selasa) dan hari mengundi pada 19 November (Sabtu).

PRU15 melibatkan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi DUN Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )