Kontinjen negara lesu pada hari kelapan Sukan SEA 2023

Kontinjen negara lesu pada hari kelapan Sukan SEA 2023

PHNOM PENH,. Hari kelapan temasya Sukan SEA 2023 yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan suasana suram buat kontinjen negara tanpa kutipan pingat emas.

Malaysia, sebaliknya sekadar meraih satu pingat perak dan 12 gangsa.

Pingat perak kem negara adalah menerusi sukan perlumbaan bot tradisional dalam acara 250 meter (m) 12 kru terbuka lelaki.

Skuad perlumbaan bot tradisional negara turut menyumbangkan gangsa menerusi acara 250m 3 Kru (U24) wanita, pelumba berbasikal Nur Aisyah Mohamad Zubir (acara lepas beramai-ramai elit wanita), golf berpasukan wanita, dua atlet lawan pedang Cheng Xing Han dan Hans Yoong Wei Shen (foil individu lelaki).

Selain itu dua atlet taekwondo Sebastian Tan Chun Wan dan Muhammad Luqman Haqim Mohd Suhaimi (kategori kyorugi bawah 54kg dan 87kg lelaki), dua peninju Indran Rama Krishan dan Muhammad Abdul Qayyum Arifin (86kg dan 51kg), pasukan kriket wanita, beregu sepak takraw wanita dan beregu tenis lelaki (Koay Hao Sheng dan Mitsuki Wei Kang Leong).

Pencapaian itu sekali gus menyaksikan kem negara kekal berada di kedudukan ketujuh dengan kutipan keseluruhan 28 emas, 37 perak dan 71 gangsa.

Berbaki empat hari lagi sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai pada Rabu ini (17 Mei), tugas berat menanti baki atlet Malaysia yang bertanding bagi meraih pingat emas dalam usaha kontinjen negara mencapai sasaran 40 emas pada edisi kali ini.

Biarpun sudah melepasi angka separuh pingat emas yang ditetapkan, beberapa acara lubuk emas kontinjen negara seperti olahraga, karate, silat dan terjun sudahpun berakhir.

Secara realistik, peluang bagi mencapai sasaran 40 pingat emas itu agak sukar berikutan acara yang dipertandingkan semakin berkurangan dengan prospek kutipan pingat kini terarah kepada hoki, badminton, sepak takraw dan angkat berat.

Selepas berakhir hari kelapan temasya, kedudukan tiga teratas dalam carta pungutan pingat kekal dengan Vietnam mendahului dengan 85 emas, 77 perak dan 86 gangsa, diikuti Thailand 78-52-75 manakala tuan rumah, Kemboja di tempat ketiga dengan 59-53-79.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )