Kluster baharu tapak pembinaan, 44 pekerja asing positif Covid-19

Kluster baharu tapak pembinaan, 44 pekerja asing positif Covid-19

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan tapak pembinaan di ibu negara yang kini sudah menjangkiti 44 warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah jangkitan yang tinggi itu mungkin disebabkan faktor cara hidup golongan berkenaan atau keadaan tempat tinggal.

Katanya, walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan sudah dilaksanakan di tapak pembinaan, tiada kawalan membabitkan tempat tinggal.

“Besar kemungkinan pekerja asing berkenaan duduk di tempat tertutup dan sempit. Keadaan itu menjadi faktor utama bagaimana jangkitan menular.

“SOP di tapak pembinaan memang ada, tapi yang penting penempatan mereka, rumah dan cara mereka duduk,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Memberi contoh penempatan warga asing di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, beliau menjelaskan, sebuah unit pangsapuri dihuni 30 orang.

“Ruang sempit menjadi satu faktor yang mendorong virus dapat berjangkit. Kita kena lihat faktor lain dalam kalangan pekerja asing.

“Kita percaya ruang sempit satu faktor penting yang perlu diperhalusi.

“Kita tiada vaksin, yang ada penjarakan sosial dan itulah vaksin yang ada,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )