KL ‘Hijau’ imbang hutan konkrit: Annuar

KL ‘Hijau’ imbang hutan konkrit: Annuar

KUALA LUMPUR,. Lebih banyak kawasan rekreasi dan taman awam sekitar ibu negara akan diwujudkan dalam usaha ‘menghijaukan’ bandar raya konkrit ini yang kini didiami seramai 1.9 juta penduduk.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, ini antara aspirasi utama pihaknya dalam menjamin kualiti hidup lebih baik dan selesa buat warga kota, selain pembangunan seimbang dengan kelestarian alam terjaga.

Ini katanya, termasuklah tujuh tasik terbiar di utara ibu negara yang akan dinaik taraf dan diindahkan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2020-2040 yang dijangka dilancarkan pertengahan tahun ini.

“Ia merupakan cabaran yang besar memandangkan kawasan ini menjadi perhatian pihak swasta untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.

“Saya ingin memastikan pembangunan pesat kita diimbangkan dengan kewujudan kawasan hijau yang cukup luas,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang bakal disambut hari ini dengan tema ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’.

Beliau berkata, PSKL juga menyenaraikan pembangunan taman awam berskala besar di Bukit Kiara, projek naik taraf Taman Botani Perdana dan Taman Tugu serta matlamat mewujudkan konsep bandar raya taman.

Sementara itu, Annuar berkata penyediaan rumah mampu milik buat warga kota di bawah inisiatif Residensi Prihatin berharga sekitar RM200,000 dengan sasaran 20,000 unit turut menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak lima tapak di Putrajaya telah dikenal pasti untuk pembinaan kediaman tersebut selain satu tapak di ibu negara melibatkan kawasan Seputeh yang kini sedang dalam peringkat akhir untuk memperoleh kelulusan.

“Keutamaan akan diberi kepada pembeli muda dan kita nak galakkan orang muda membeli rumah seawal mungkin, kita jangka akan membuka permohonan tidak lama lagi,” katanya.

Jelasnya perumahan tersebut akan dibina menggunakan konsep rumah modular bagi mempercepat tempoh pembinaan selain menjimatkan kos.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata kerajaan juga telah mengenal pasti beberapa kawasan di ibu negara untuk menerima akses WiFi percuma menerusi projek perintis selain menumpukan kepada projek pembaharuan bandar melibatkan 30 kawasan.

Kerajaan juga, kata beliau sedang meneliti pelaksanaan inisiatif perkebunan bandar yang akan turut dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan gelandangan memulakan kehidupan baharu.

“Kita sedang teliti beberapa aspek termasuk jumlah peruntukan dan berapa ramai peserta daripada golongan gelandangan yang akan terlibat untuk melaksanakan inisiatif ini,” katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan di Labuan, Annuar berkata beberapa projek pembangunan antaranya pembinaan pusat pencerapan anak bulan dan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah akan dilaksanakan.

“Di Putrajaya pula, kita mahu menambahkan tarikan dan produk pelancongan yang boleh menarik kedatangan lebih ramai orang dalam mengembangkan ekonomi di situ selain melengkapkan jaringan pengangkutan awam,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )