KKMM cadang perluas medium komunikasi – Saifuddin Abdullah
KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang memperluas dan mempelbagaikan medium komunikasi termasuk bahasa sebaran data, saranan dan mesej bagi memastikan maklumat difahami semua lapisan masyarakat.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia bagi membolehkan warga asing khususnya yang bekerja di Malaysia untuk lebih memahami dan secara tidak langsung dapat mematuhi penyampaian maklumat kerajaan.
“Kerajaan mesti rancang dengan tepat dan tertib, kerana itu kami sangat berhati-hati terutama sekali (penyampaian) data, saranan dan mesej yang diberikan (kepada masyarakat). Kementerian Kesihatan adalah yang paling rapi dari segi memastikan semua berjalan dengan baik.
“Kerajaan juga belajar bahawa pada peringkat awal kami terlupa sedikit bahawa sesetengah atau ramai warga asing tidak faham bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, jadi kami kena ada bahan-bahan yang diterjemahkan dalam bahasa mereka.
“Pelbagai bahasa dan kami minta tolong penterjemah untuk terjemahkan, kalau tidak kami (kerajaan) marah pendatang tanpa izin tidak ikut prosedur operasi standard dan sebagainya,” katanya dalam temu bual khas Buletin Awani semalam.
Selain itu, Saifuddin berkata kerajaan juga belajar untuk tidak menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat dengan mempersetujui pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesuatu kawasan, misalnya diumumkan dua hari sebelum pelaksanaan.
“Kerajaan hendak elak daripada rakyat panik, kami juga belajar, bila umum PKPB di sesuatu kawasan, orang ramai pergi beli barangan. (Jadi), kami umum dua hari sebelum (pelaksanaan) supaya mereka mempunyai masa untuk beli barangan keperluan,” katanya.
Katanya, kerajaan mengubah strategi mengikut kepentingan dan keadaan semasa COVID-19.
“Saya fikir yang penting adalah mengubah strategi mengikut keadaan semasa. Sebelum 12 Oktober, strategi kerajaan menentang COVID-19 disebut sebagai step and ladder, maknanya tengok kepada angka kuning atau merah baru kami ambil tindakan tertentu misalnya isytihar PKPB dalam sesuatu kawasan.
“Selepas kerajaan belajar terutamanya kes di Sabah, kami dapati bahawa step and ladder approach itu tidak lagi sesuai. Jadi, kita kena lebih pre-emptive dan kerana itu pada 12 Oktober kerajaan umum PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula pada 14 Oktober,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada 12 Oktober lepas, Zon Merah di Selangor hanyalah Klang dan Petaling manakala Hulu Langat, Gombak, Titiwangsa, Kepong masih mencatatkan Zon Kuning.
Dari 18 Oktober sehingga kelmarin, Zon Merah di Selangor seperti Klang mencatatkan 155 kes, Petaling (467), Hulu Langat (300), Gombak (121) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Titiwangsa (81) dan Kepong (43)
— Bernama