KKM rancang beri vaksin TDAP kepada ibu hamil

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan (KKM) kini merancang memperkenal vaksin tetanus-difteria-pertusis (TDAP) kepada golongan ibu hamil bagi mengurangkan beban penyakit dalam kalangan bayi baharu lahir.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (gambar) berkata pelan imunisasi kebangsaan yang diperkenal oleh kerajaan dalam tahun 1950-an pada awalnya memberi vaksin untuk melindungi kanak-kanak daripada dua jenis penyakit iaitu difteria dan tetanus.

Bagaimanapun, beliau berkata atas keinginan KKM untuk melindungi kanak-kanak daripada penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut, lebih banyak vaksin telah ditambah ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan sehingga hari ini.

“KKM menyedari insiden penyakit batuk kokol (pertusis) adalah tinggi dalam kalangan bayi baharu lahir yang masih belum cukup umur untuk menerima vaksin ini (TDAP) pada usia dua bulan.

“Kesihatan ibu dan anak adalah amat penting sehinggakan ia menjadi antara penanda aras bagi negara membangun. Sejak berdekad lamanya, Kerajaan Malaysia telah memberi tumpuan kepada kelangsungan hidup serta kesihatan ibu dan anak,” katanya ketika berucap merasmikan sesi forum media bertajuk ‘Suntikan Kasih Ibu dan Bayi’ secara maya hari ini bersempena Minggu Imunisasi Sedunia.

Khairy berkata Malaysia berjaya menurunkan nisbah kematian ibu hamil dengan ketara iaitu sebanyak 91.6 peratus pada 2018 (iaitu 23.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup) berbanding 280 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1957.

Katanya nisbah kematian kanak-kanak bawah lima tahun juga turun dengan ketara iaitu sebanyak 90.2 peratus pada 2020 dengan 6.9 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup berbanding 70.2 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1965.

Menerusi satu kenyataan, Khairy berkata sehingga kini, terdapat 11 jenis produk vaksin untuk mencegah 13 penyakit atau VPD dalam Program Imunisasi Kebangsaan antaranya tuberkulosis, Hepatitis B, difteria, kancing gigi (tetanus) dan batuk kokol.

“Sehingga kini juga, kesemua vaksin ini disediakan oleh kerajaan untuk semua kanak-kanak di Malaysia daripada lahir sehingga mereka berusia 15 tahun.

“Selain itu, KKM menyediakan vaksin kepada ibu hamil untuk mencegah penyakit kancing gigi, vaksin influenza untuk anggota kesihatan barisan hadapan serta vaksin meningokokus untuk jemaah haji,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga beberapa jenis vaksin yang diberikan kepada kumpulan umur berisiko dan keadaan tertentu di hospital KKM.

Katanya walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 diikuti Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara terutama pada 2020 dan 2021, KKM tetap meneruskan perkhidmatan imunisasi kerana menyedari kepentingan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak dalam usaha mencegah penyakit berjangkit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )