KKM mohon moratorium tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja 45 jam untuk jururawat

KKM mohon moratorium tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja 45 jam untuk jururawat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memohon moratorium kepada tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat seliaannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia mengambil kira Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan tempoh interim bagi persediaan pelaksanaan pendekatan itu antara 1 Disember lalu hingga 28 Februari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh interim berkenaan, KKM sudah melaksanakan sesi libat urus dan dialog awam mengikut zon di seluruh negara.

Antara hasil dapatan sesi libat urus dan dialog awam adalah seperti membantu penyelia membuat penyusunan dan penyelarasan jadual waktu bekerja syif 45 jam, membincangkan isu di lapangan, meliputi kebajikan anggota kesihatan dalam waktu bekerja syif serta meneliti cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh pelaksanaan tadbir urus waktu bekerja syif di fasiliti KKM, sebelum diangkat untuk pertimbangan JPA.

“Saya juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama kesatuan untuk mendapatkan pandangan menyeluruh serta penyelesaian tuntas berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif, pada 20 Februari lalu.

“KKM beriltizam memastikan pelaksanaan waktu bekerja teratur dan selaras peraturan berkuat kuasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Kesatuan Jururawat Malaya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam itu, menyifatkan ia sebagai tidak adil untuk membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.

Bagaimanapun Dzulkefly melalui maklum balas kepada kebimbangan itu menyifatkan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu mulai 1 Disember ini sebagai munasabah.

Beliau berkata, walaupun jururawat perlu bekerja 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini, kebajikan barisan hadapan kesihatan itu akan lebih terjaga menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel.

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )