KKM komited selesai isu jabatan kecemasan: Dr Zaliha

KKM komited selesai isu jabatan kecemasan: Dr Zaliha

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mendengar dan berusaha mengenal pasti penyelesaian bagi isu-isu jabatan kecemasan di hospital.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini berikutan pelbagai cabaran berbeza yang dihadapi oleh setiap jabatan kecemasan.

Susulan lawatan pihaknya baru-baru ini ke jabatan kecemasan di sebuah hospital kuarternari, beliau berkata petugas barisan hadapan bergelut kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad tersekat di jabatan itu.

“Kelewatan kemasukan menyebabkan kesan domino yang teruk. Apa yang sedang dilakukan (oleh kementerian) ialah mengakui keseriusan masalah ini serta keletihan fizikal dan mental yang dialami oleh petugas dan pesakit di lapangan.

“(Serta) perbincangan dalaman dan hala tuju mengenai perjawatan dan pembukaan lebih banyak katil (serta) memperkasa kepimpinan di lapangan,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Dr Zaliha berkata banyak isu adalah diwarisi dan sistemik, namun sebahagiannya boleh ditangani pada peringkat tempatan dengan libat urus yang mencukupi.

Beliau berkata ramai petugas barisan hadapan bekerja melebihi jangkaan ketika pandemik dan terus melakukannya memandangkan sistem penjagaan kesihatan kini berdepan kes penyakit tidak berjangkit yang terlampau banyak. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )