Kisona tinggalkan BAM

Kisona tinggalkan BAM

KUALA LUMPUR,. Pemain perseorangan wanita negara S. Kisona memutuskan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam kerana mahu menumpukan kepada proses pemulihan selain memerlukan masa yang lebih fleksibel untuk meneruskan kerjayanya dalam badminton.

Bagaimanapun, atlet berusia 24 tahun itu menegaskan tetap akan meneruskan kejayanya sebagai pemain profesional.

“Saya nak berhenti daripada BAM untuk tumpu kepada pemulihan di bahagian kaki kerana saya pernah menjalani pembedahan setahun yang lalu. Setakat ini, kecil sahaja kecederaan, jadi mungkin boleh pulih dalam tiga minggu, dua minggu atau seminggu pun boleh.

“Saya perlu bincang balik dengan pusat rehabilitasi. Kalau pemulihan cepat, saya boleh kembali ke kejohanan dan fokus untuk latihan Sukan Olimpik Paris 2024. Kejohanan pertama belum tahu lagi, akan ada perancangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini semalam.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata barisan kejurulatihan dan BAM sebelum ini telah berjumpa dan berbincang bersama Kisona berhubung keputusan keluar daripada badan induk berkenaan.

“Sejarah kecederaannya tahun ini membawa satu cabaran buatnya bukan sahaja dari segi progress kerjaya badminton tetapi juga emosi. Kisona juga telah dibuli di sosial media,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Michelle Chai berkata BAM memutuskan untuk melepaskan 12 pemain daripada badan induk berkenaan bagi sesi tahun hadapan.

Antara pemain yang dilepaskan BAM ialah perseorangan lelaki Lim Chong King dan Ting Wen Xuan, perseorangan wanita Myisha Mohd Khairul, Eoon Qi Xuan serta Joanne Ng May Yin dan pemain beregu lelaki Fawwaz Zainuddin dan Muhammad Zulhairi Sahimi.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan BAM mampu menumpukan kepada pemain-pemain yang boleh disandarkan untuk membawa pulang pingat buat negara bagi Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita tumpukan kualiti berbanding kuantiti. Kita tengok juga ada orang ramai cakap BAM suka perap pemain, tak hantar pergi kejohanan. Mulai tahun depan, siapa sahaja yang kita simpan, kita mahu dapat membawa pemain itu ke kejohanan,” katanya.

Selain itu, Michelle berkata 55 pemain senior dikekalkan dalam BAM berdasarkan potensi pemain untuk berada di sekurang-kurang kedudukan ke-30 dunia selain mengambil kira sikap dan disiplin atlet berkenaan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )